Saya memasukkan burnout dalam artikel atau blog ni adalah kerana saya telah mengalami burnout kerja yang melampau dan ia mula memberi kesan kepada kesihatan saya.
Dimana saya mengalami masalah pernafasan yang teruk disebabkan tonsil dan sebelum ini beberapa kali isteri saya mengatakan bahawa berdengkur dengan kuat.
Pada suatu hari saya terkena sesak nafas yang teruk dimana saya tidak boleh bernafas dengan normal dan berlaku kebengkakan di leher. Dan melalui pemeriksaan saya mempunyai tonsil yang agak teruk.
Kenapa ini berlaku anda boleh baca disini : HANIF IDRUS BURNOUT
Sebab artikel ini adalah untuk atasi masalah burn out
TERMA ‘burnout’ sering digunapakai akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres di tempat kerja.
Ia merupakan satu keadaan di mana berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental beserta perasaan ragu tentang keupayan diri serta nilai pekerjaan seorang individu.
Terma ‘burnout’ ini telah lama diperkenalkan iaitu pada tahun 1974 oleh seorang pakar psikologi iaitu Herbert Freudenberger, cuma ianya baru diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu sindrom klinikal pada tahun 2019.
Pada asalnya, Freudenberger mengenal pasti gejala ini berlaku di kalangan sukarelawan yang bekerja di klinik percuma di bandaraya New York, Amerika Syarikat (AS).
Sukarelawan yang pada awalnya sangat bersemangat dan menunjukkan minat tinggi untuk membantu didapati mula hilang motivasi, menjadi sinis, mengalami keletihan fizikal serta gangguan emosi.
Beliau mendefinisikan ‘burnout’ sebagai satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan fizikal dan psikologikal disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan professional.
Sejak itu, terma ‘burnout’ telah digunakan dalam banyak isu yang berkaitan dengan stres di tempat kerja.
Terdapat peningkatan yang ketara dalam kes ‘burnout’ secara global saban tahun dan pengiktirafan ini menyebabkan masyarakat dunia mula mengambil perhatian tentang stres di tempat kerja.
Pekerjaan sebenarnya bukan sahaja merupakan punca pendapatan seseorang, tetapi ia juga boleh menjadi punca tekanan serta menjejaskan kesihatan mental sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.
Semua orang pasti akan cuba melakukan yang terbaik dalam pekerjaan tetapi ada juga yang bekerja secara berlebihan seperti bekerja sehingga lewat malam atau semasa hujung minggu dan juga mengambil beban tugas yang terlampau banyak sehingga sukar mencapai tarikh akhir yang ditetapkan.
Di Amerika Syarikat, didapati bahawa doktor dan individu yang bekerja di persekitaran yang mempunyai kadar stres tinggi mempunyai risiko mendapat ‘burnout’ sebanyak dua kali ganda berbanding pekerja lain.
Kajian di United Kingdom (UK) pula mendapati bahawa 526 ribu pekerja mengalami ‘burnout’ manakala di Malaysia pula, satu kajian oleh AIA Vitality mendapati bahawa 53 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi ‘burnout’ di tempat kerja.
Kajian tersebut juga mendapati, 12 peratus pekerja mengalami tahap kemurungan serta gemuruh (anxiety) yang tinggi.
Walaupun ianya bukan sejenis penyakit, tetapi ‘burnout’ telah dimasukkan ke dalam kategori faktor yang mempengaruhi kesihatan atau penyebab untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di dalam ‘11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11)’.
Tiga dimensi utama
Mengikut klassifikasi oleh ICD-11, ‘burnout’ terhasil daripada stres berterusan di tempat kerja yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan dicirikan oleh tiga dimensi utama iaitu:
1. Perasaan letih serta hilang tenaga.
2. Peningkatan perasaan negatif dan sinis terhadap kerja serta berasa jauh secara mental terhadap kerja yang dilakukan.
3. Kurang kepayahan professional dalam menjalankan pekerjaan.
Perlu ditegaskan bahawa istilah ‘burnout’ cuma boleh digunakan dalam konteks pekerjaan dan bukannya dalam aspek kehidupan yang lain.
Faktor-faktor yang menyebabkan ‘burnout’:
1) Beban kerja berlebihan
Beban kerja yang terlalu banyak, kurang rehat serta tiada aktiviti sosial akan menyebabkan fizikal menjadi letih dan lesu. Ini menjadi lebih teruk apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang secukupnya serta kurang sokongan daripada rakan sekerja, majikan dan keluarga.
2) Kerja di luar kepakaran, bidang tugas atau minat
Melakukan sesuatu di luar kepakaran atau secara paksaan tanpa minat yang mendalam boleh menimbulkan tekanan. Ini kerana seseorang individu itu tidak dapat mencapai kepuasan dalam bekerja, sentiasa berasa risau tentang mutu kerja serta sering berasa tidak cukup bagus dalam menjalankan tugasan tersebut. Ia juga mungkin menimbulkan rasa rendah diri dan sering membuat perbandingan dengan orang lain.
3) Personaliti
Terdapat beberapa ciri personaliti Individu yang menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat tekanan serta ‘burnout”. Antaranya adalah:
a) Individu yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugas.
b) Individu yang meletakkan target serta pencapaian yang tinggi.
c) Individu yang sukar memberi kepercayaan kepada orang lain dan lebih gemar melakukan tugasan secara sendirian.
d) Individu yang sentiasa berfikiran pesimis terhadap diri dan orang lain.
Tanda-tanda ‘burnout’
Secara umumnya ia boleh di bahagikan kepada 3 kategori iaitu:
1) Gejala fizikal
• Rasa keletihan sepanjang masa. Ini merupakan tanda ‘burnout’ yang paling ketara. Ia melibatkan keletihan secara fizikal dan mental. Ini kerana seluruh tenaga telah disalurkan untuk melakukan pekerjaan tersebut.
• Kesihatan tubuh badan yang terjejas seperti kerap jatuh sakit, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot serta gangguan sistem penghadaman.
• Sukar untuk tidur.
2) Gejala emosi
• Mudah marah dan sensitif berbanding biasa.
• Sukar untuk mengawal perasaan.
• Mudah menangis, berasa tidak dihargai dan kerap mengeluh.
• Berasakan bahawa kerja yang dilakukan tidak penting serta hilang rasa yakin tentang masa depan kerjaya.
• Hilang semangat atau motivasi diri. Ini menyebabkan individu tersebut tidak mempunyai kekuatan atau dorongan untuk melakukan kerja. Ada yang mengalami rasa sukar untuk bangun pagi serta tiada semangat untuk ke tempat kerja.
• Hilang fokus atau kurang tumpuan.
• Gemar mengasingkan diri.
3) Gejala tingkah laku
• Penurunan prestasi kerja.
• Masalah interpersonal atau konflik dengan rakan sekerja.
• Mengabaikan penjagaan diri seperti merokok, mengambil minuman beralkohol, banyak mengambil makanan ringan serta waktu makan yang tidak teratur.
• Mengundurkan diri dari mengambil tanggungjawab.
• Menangguh tugas yang diberikan.
Cara mengatasi burnout
Jika anda ada mengalami gejala ‘burnout’, sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:
1. Merehatkan diri dan bercuti daripada kerja.
2. Melakukan aktiviti relaksasi seperti meditasi, yoga, mendengar muzik atau apa jua aktiviti santai lain yang dapat membantu merehatkan minda serta mengisi masa anda daripada berfikir tentang kerja secara berterusan.
3. Cari hobi serta aktiviti luar yang disukai. Adakala, perkara mudah seperti keluar minum petang bersama rakan juga dapat membantu ada menghilangkan tekanan.
4. Mengamalkan pemakanan yang seimbang, senaman dan tidur yang cukup.
5. Belajar cara untuk mengurus tekanan dan mengurus masa dengan berkesan.
6. Kurangkan masa bersama gajet serta matikan telefon bimbit. Penggunaan telefon bimbit tanpa had menyebabkan tekanan yang berterusan kerana pada masa kini kita sentiasa boleh dihubungi sama ada ketika bercuti atau selepas waktu pejabat. Untuk mengatasi hal itu, anda perlu memberikan batasan dengan mematikan telefon bimbit di malam hari serta menyisihkan waktu tertentu untuk memeriksa dan membalas e-mel atau WhatsApp.
7. Buat perancangan serta jadual yang teratur. Ini membantu anda menggunakan masa secara optimum serta mengenal pasti kepentingan sesuatu tugasan. Atur tugasan mengikut kepentingan dan tarikh akhir serta pastikan anda gunakan waktu bekerja sepenuhnya. Pergi dan pulang dari kerja pada waktunya.
8. Kenal pasti punca masalah serta mengapa berlakunya ‘burnout’. Adakah ianya disebabkan faktor diri sendiri, rakan sekerja atau pekerjaan tersebut. Kenal pasti apa yang perlu diperbaiki dan adakah ianya di bawah kawalan sendiri.
9. Mengetahui batasan serta keupayaan diri.
10. Tingkatkan komunikasi antara rakan sekerja serta majikan.
11. Tetapkan matlamat diri serta kerjaya. Tahu apa yang ingin anda capai dalam kerjaya dapat menjadikan anda lebih fokus dan bersemangat.
12. Dapatkan khidmat nasihat profesional sekiranya gejala ‘burnout’ yang dialami menjejaskan fungsi kehidupan serta tidak lagi mampu ditangani dengan baik.
Walaupun ramai yang mengalami gejala ‘burnout’, tetapi tidak ramai yang bersedia untuk mengakuinya kerana bimbang dilihat sebagai seorang yang lemah, malas atau tidak mampu menjalankan tugas.
Hakikatnya, setiap individu mempunyai keupayaan, kelebihan serta ketahanan diri yang berbeza. Sungguhpun demikian, tiada siapa yang mampu bertahan lama jika menghadapai tekanan yang berterusan tanpa mendapatkan penyelesaian atau sokongan yang sepatutnya.
Ada individu yang mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja atau mengabaikan gejala ‘burnout’ yang dihadapi. Bagaimanapun, jika gejala ‘burnout’ ini dibiarkan berterusan, maka individu tersebut mempunyai risiko untuk mendapat kemurungan atau penyakit gemuruh.
Untuk itu adalah penting untuk kenali dan fahami gejala ‘burnout’ serta melakukan sesuatu untuk mengatasinya.